Saturday 19 October 2013

Nikmat Sedekah

Assalamualaikum wr wb.
Bismillahirahmannirrahiim.

Ummi pernah terbaca, bahawa terdapat banyak jalan untuk ke syurga ALLAH. Antaranya melalui jihad, solat dan juga sedekah. Kerana ALLAH MAHA  Pengasih, MAHA Pemurah. Syurga itu untuk kita dan kita dituntut untuk mencari jalan ke syurga.

Kita mencari keredhaan ALLAH, keampunan ALLAH dan kita mahu akhiri hidup kita di syurga Bukankah tangan memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima? Dan jika kita tidak ada, apa yang boleh kita beri? Sedekahlah apa yang kita suka, kita ada. Jika kita tidak boleh bersedekah harta, wang ringgit, maka sedekahlah tenaga, kata-kata yang baik. Malah senyum itu sudah satu sedekah.

Jika kita tidak mampu berjihad, kita bersedekah. Jika tidak mampu untuk solat sunat, kita bersedekah. Kerana bagi ummi, sedekah adalah perkara yang paling mudah untuk kita lakukan. Sedekah juga membersihkan diri kita dari segala dosa dengan izin-NYA. Hadis Rasulullah saw, "Sedekah dapat menghapuskan dosa sebagaimana air memadamkan api." (HR Tirmidzi, dishahihkan Al Albani dalam Shahih At Tirmidzi, 614).

Janji ALLAH swt di dalam al-Quran; "Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki maupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipat-gandakan (ganjarannya) kepada mereka dan bagi mereka pahala yang banyak." (Qs, al-Hadid: 18)

Terdapat juga pintu syurga yang hanya boleh dimasuki oleh orang yang bersedekah. Orang memberikan menyumbangkan dua harta di jalan Allah, maka ia akan dipanggil oleh salah satu dari pintu syurga.

Daripada HR Bukhari pula; "Wahai hamba Allah, kemarilah untuk menuju kenikmatan. Jika ia berasal dari golongan orang-orang yang suka mendirikan solat, ia akan dipanggil dari pintu solat, yang berasal dari kalangan mujahid, maka akan dipanggil dari pintu jihad, jika ia berasal dari golongan yang gemar bersedekah akan dipanggil dari pintu sedekah. "

Dan juga, orang yang sering bersedekah dapat membebaskan dari siksa kubur. Rasulullah saw bersabda, "Sedekah akan memadamkan api siksaan di dalam kubur." (HR Thabrani)

Syaratnya, kita ikhlas kerana ALLAH. Ikhlas itu artinya, kita tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada sedekah itu kecuali sedekah itu diterima ALLAH.

Mulai hari ini, marilah kita bersedekah. Moga kita tergolong dalam golongan  orang yang beruntung di dunia dan di ahirat kelak. Amiin.

No comments:

Post a Comment