Sunday 15 September 2013

Jangan Marah - Marah

Hadith tentang Marah :

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah telah bersabda:”Bukanlah orang yang kuat itu orang yang selalu menumpaskan orang lain, sesungguhnya orang yang kuat itu adalah orang yang dapat mengawal diri ketika marah.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

KEPENTINGAN HADIS
Kepentingan hadis tersebut ialah Rasulullah mendorong menahan emosi ataupun jiwa dan tidak marah dengan menjelaskan pahala orang yang memiliki sifat mulia tersebut. Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan dalam musnadnya dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah bersabda,”Tidak ada teguran yang lebih dicintai Allah dari teguran kemarahan yang ditahan oleh seorang hamba tidak menahannya karena Allah kecuali pasti Allah akan memenuhi jiwanya dengan iman.”
Ibnu Katsir setelah menuturkan hadis tersebut berkata,”Imam Ahmad meriwayatkan sendirian dan sanadnya hasan, tidak ada yang cacat, dan matanya hasan. [1]“Rasulullah bersabda, “Siapa yang menahan amarah dan ia mampu untuk meampiaskannya, maka ia akan memanggilnya di hadapan para makhluk dan menyuruhnya memilih bidadari mana yang ia suka.”[2]

MARAH
Marah itu adalah satu perubahan sikap yang terhasil ketika menggelegaknya darah di dalam hati untuk menghasilkan kelegaan dalam dada. Demikian pendapat Al-Jurjani, Marah juga memberi erti, menghendaki kemudharatan kepada orang yang dimarahi. Maka lawan marah  itu ialah redha.

Sesungguhnya Allah menciptakan sifat marah itu dari api dan menjadikannya sebagai salah satu tabiat bagi manusia. Apabila terhalang salah satu hajat atau maksud seseorang, nescaya menyalalah api kemarahannya yang menjadikan darah hatinya mendidih lalu mengalir kepada saraf dang menggelegak ke bahagian sebelah atas badannya sebagaimana menggelegaknya api dan sebagaimana menggelegaknya air yang dipanaskan di dalam periuk. Lalu muka dan matanya menjadi merah, semantara di sebalik kulitnya membayangkan warna merah.

Adapun kekuatan marah itu tempatnya adalah di hati. Ertinya darah hati menggelegak untuk menuntut balas, dan kekuatan marah itu digunakan untuk menolak apa yang menyakitkan hatinya sebelum marahnya terjadi dan untuk menyembuhkan dan menuntut balas sesudah marahnya terjadi. Menuntut balas adalah makanan kekuatan tersebut dan keinginannya, kerana dengan menuntut balas akan terhasil kelegaannya, dan dia tidak akan tenteram melainkan dengan menuntut balas atau membalas dendam.

Kekuatan marah itu terbahagi kepada tiga peringakat iaitu:

Tafrith (Ketiadaan sifat marah).

Ifrath (Sifat marah yang melampau).

I’tidal (Pertengahan antara marah dan tidak marah).

TAFRITH

Tafrith ialah tidak adanya kekuatan marah itu pada seseorang itu atau kekuatan marah itu sangat lemah, sifat seumpama ini adalah tercela iaitu orang itu dikatakan tidak mempunyai sifat cemburu pada diri. 
Imam Syaf’ie berkata:” Orang yang diperbuat sesuatu ke atasnya supaya dia menjadi marah, lalu dia tidak marah, maka orang itu seperti keldai”.
Allah telah mensifatkan para sahabat Nabi dengan terkadang-kadang bersifat keras dan berperasaan cemburu.

Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir Yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, Dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. tanda Yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang Yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan Ibadat mereka Yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka Yang tersebut di Dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di Dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman Yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi Kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya Dengan keadaan Yang mengkagumkan orang-orang Yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana Dengan perasaan marah dan hasad dengki – Dengan kembang biaknya umat Islam itu. (dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala Yang besar.[3]

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud :Wahai Nabi! berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafik, serta bertindak keras terhadap mereka. dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.[4]

Yang dikatakan bersikap keras dan tegas itu adalah bersumber dari adanya tanda-tanda kekuatan cemburu dalam diri iaitu yang mentebabkan sifat marah.
Hasil sifat marah yang lemah ini ialah ketiadaan harga diri sama sekali untuk menentang sesuatu yang mengganggu kehoramatan peribadi dan kehoramatan isteri. Dia bersifat acuh tak acuh sahaja ketiak peribadnya dihina-hinakan oleh orang-orang yang rendah budinya. Dia merasakan dirinya terlalu kecil dan rendah untuk mempertahankan peribadinya dari kecaman orang lain.

IFRATH

Ifrath adalah sifat marah yang berlebihan sehingga melampui batas kebijaksanan akal dan agama. Orang seperti ini buta dan tuli dalam menerima setiap pengajaran.  Apabila dia diberi nasihat, nescaya tidak akan didengarnya, bahkan bertambah kemarahannya, dan apabila dia memperolehi cahaya dari sinar akalnya dan ia mahu kembali kepadanya, nescaya dia tidak sanggup menerimanya kerana sinar akalnya sudah padam dan terus lenyap dengan asap kemarahannya. 

Di antara tanda-tanda marah pada zahirnya ialah berubah warna kulit, menggeletar kaki tangan, kelakuan tidak menurut ketertiban dan ketentuan yang biasa, gerak geri tidak menentu arah, percakapan bercampur suara marah keluar dari rahangnya, mata merah padam dan lubang hidung kembang kuncup. 

Adapun tanda-tanda kemarahan yang terdapat pada lidah ialah kelancangan lidah ketika menyebutkan caci maki. 

I’TIDAL

I’tidal adalah sifat marah yang sederhana. Maka siapa yang marahnya terlalu lemah, sewajarnyalah dia mengubati dirinya sehingga menjadi kuat marahnya iaitu sifat marah yang terpimpin oleh pertimbangan akal dan perintah agama, dan siapa yang marahnya terlalu berlebih-lebihan, maka sewajarnyalah dia mengubati dirinya supaya berkurang kemarahannya sehingga dia berada di tengah-tengah di antara marah yang sangat lemah dan marah yang berlebih-lebihan, dan marah yang sederhana ini adalah jalan yang lurus.

TINGKATAN-TINGKATAN MARAH.

Tingkatan marah itu ada tiga menurut Ibn Al-Qayyim, iaitu :-
Marah taraf permulaan iaitu sekadar marah sahaja.
-          Orang yang marah di peringkat permulaan masih menyedari apa yang diucapkannya dan apa yang dilakukannya dan masih memikirkan akibat-akibat yang akan timbul.
Marah yang bersangatan.

-          Marah di peringkat ini sudah sama dengan orang kemasukan syaitan atau orang gila. Fikiran dan pandangannya sudah gelap sehingga tidak sedar lagi apa yang diucapkannya, tidak menyedari apa yang dikerjakannya dan tidak menyedari akibat yang akan timbul.

Marah taraf pertengahan.
-          Orang yang betul-betul marah, tetapi masih menyedari perbuatan dan percakapannya. Dengan perkataan lain marah yang mempunyai rasa malu dan rasa takut.

JENIS-JENIS MARAH.

Marah mengikut sebab-sebab penggeraknya kadang-kadang dipuji dan  kadang-kadang dicela. Sifat marah yang terpuji ialah marah yang diluahkan kerana membela kebenaran dan agama, dan marah kerana menegah kemungkaran dan perkara-perkara haram.
Sementara marah yang tercela itu pula ialah marah pada jalan yang salah, yang dinyalakan oleh kesombongan dan keangkuhan.

KESAN-KESAN MARAH DALAM TINDAKAN ORANG MARAH.

Kebanyakan ulama fiqh berpendapat bahawa orang yang marah dipertanggungjawabkan segala perbuatannya semasa dia marah, dan diambil lira apa-apa saja perbuatan yang lahir daripadanya, seperti perbuatan yang menyebabkannya menjadi kafir, membunuh orang, mengambil harta orang lain tanpa hak, talak dan sebagainya. Mereka berhujjah dengan bersandarkan kepada beberapa dalil, di antaranya :

Hadith Khaulah binti Tha’labah, isteri kepada Aus bin Ash-Shamit ada menyebutkan “Suaminya telah marah lalu dia menziharkannya, maka dia (Khaulah) pun pergi berjumpa Nabi lalu memberitahu kepada Baginda perkara itu dan berkata:
“Dia tidak bermaksud untuk menthalaqku”.

Maka nabi bersabda:
“Aku tidak tahu melainkan engkau sebenarnya telah menhadi haram ke atasnya”.
Di dalam hadith ini Allah telah menjadikan thalaq sebagai zhihar, dan thalaq itu jatuh walaupun diucapkan dalam keadaan marah. Akan tetapi jika seseorang itu marah sehingga dia pitam maka tidak berlaku thalaq kerana hilang akalnya. Dalam keadaan ini dia menyerupai orang gila yang mana tidak jatuh thalaq yang lahir dari seorang gila.

Oleh yang demikian, sekiranya seorang manusia yang berada dalam keadaan marah merosakkan sesiatu yang berharga kepunyaan orang lain, maka harta tersebut berada di bawah jaminannya dan dia hendaklah membayar ganti rugi hasil daripada perbuatannya itu. Lain-lain contoh diantaranya:

-          Sekiranya dia melafadzkan lafadz kekufuran, maka dia dihukum murtad sehinggalah dia bertaubat.

-          Sekiranya dia membunuh seseorang dengan sengaja, maka dia dikenakan qishah.

-          Sekiranya dia menthalaq isterinya, maka jatuh thalaqnya itu.

MENAHAN DIRI DARIPADA MARAH.

Seorang ulama fiqh, Nur bin Muhammad berkata: seorang muslim hendaklah bersifat lemah lembut dan sabar kerana ia adalah salah satu sifat orang-orang bertaqwa.
Sebagaimana firman Allah yang bermaksud :
 “Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya)”.[5]

Ayat ini member maksud bahawa orang-orang yang sabar di atas kezaliman yang dilakukan ke atasnya dan dia memaafkan orang yang menzaliminya itu akan mendapat pahala dan ganjaran yang amat besar daripada Allah.
Allah juga telah memerintahkan Nabi Muhammad supaya bersifat sabar dan lemah lembut dan Allah mengkhabarkan kepada Baginda bahawa nabi-nabi yang terdahulu sebelum Baginda adalah orang-orang yang memiliki sifat demikian.
Sebagaimana firman Allah yang bermaksud : (jika demikian akibat orang-orang kafir Yang menentangmu Wahai Muhammad) maka Bersabarlah Engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul “Ulil-Azmi” (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu); dan janganlah Engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu itu). Sesungguhnya keadaan mereka semasa melihat azab Yang dijanjikan kepada mereka, merasai seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. (Penerangan Yang demikian) cukuplah menjadi pelajaran (bagi orang-orang Yang mahu insaf). maka (ingatlah) tidak dibinasakan melainkan kaum Yang fasik – derhaka.[6]

Dalam ayat ini Allah memerintahkan Nabi Muhammad S.A.W supaya bersifat sabar di atas pembohongan orang-orang kafir dan di atas penyiksaan mereka sebagaimana bersabarnya para nabi sebelum Baginda.

Sementara itu ada hadith-hadith Nabi yang menyebutkan :
“Sesungguhnya seorang lelaki telah berkata kepada nabi. “Berpesanlah kepadaku”. Nabi bersabda: “Jangan marah!”. Kemudian orang tadi mengulang lagi, lalu Baginda menjawab: “Jangan marah!”[7]

Wahab bin Munabbih menceritakan bahawa syaitan mahu menyesatkan seorang ahli ibadat Bani Israel, akan tetapi syaitan itu tidak Berjaya. Pada satu hari ahli ibadat ini keluar dari rumahnya kerana sesuatu keperluan. Lalu syaitan pun keluar bersamanya agar dia dapat peluang untuk menyesatkannya. Syaitan berusaha menyesatkannya dalam bentuk godaan syahwat dengan cara membuatnya marah, tetapi tidak berjaya lalu dia mencuba lagi dengan cara menakut-nakutkannya iaitu dengan menggugurkan batu dari bukit. 

Apabila batu itu hamper mengenai ahli ibadat itu, dia pun berzikir mengingati Allah, lalu batu itu pun menyingkir daripadanya. 
Kemudian syaitan menjelma menjadi singa. Lalu ahli ibadat itu berzikir mengingati Allah dan dia tidak takut kepada binatang buas itu. Kemudian syaitan menjelma pula menjadi ular ketika ahli ibadat itu sedang sembahyang. Ular itu melilit kaki dan badannya sehingga ke kepalanya. Apabila ahli ibadat itu hendak sujud, ular itu berlingkar di mukanya dan apabila dia hendak meletakkan kepalanya untuk sujud, ular itu membuka mulutnya untuk menelan kepalanya, lalu ahli ibadat itu pun miring ke tempat lain untuk membolehkan sujud. 

Apabila ahli ibadat itu selesai sembahyang dan beredar dari tempatnya, maka syaitan menemuinya dan berkata:

“Aku telah melakukan itu dan ini tapi aku tidak Berjaya memperdayakan mu, maka mulai sekarang aku mahu menjadi sahabatmu dan aku tidak akan menyesatkanmu”.

Maka ahli ibadat menjawab:
“Sebagaimana aku tidak mahu bersahabat denganmu semasa engkau menakut-nakutkan aku, begitu jugalah hari ini aki tidak ingin bersahabat denganmu”

Lalu syaitan berkata:
“Tidak engkau mahu bertanya kepadaku tentang keadaan ahli keluargamu sesudahmu?”.

Ahli ibdata menjawab:
“Aku telah mati bersama mereka”.

Kemudian syaitan berkata:
“Tidakkah engkau mahu bertanya padaku tentang bagaimana cara aku menyesatkan anak-anak Adam?”.

Ahli ibadat menjawab:
“Ya, khabarkanlah tentang cara bagaimana engkau menyesatkan anak-anak Adam”.

Syaitan berkata:
“Dengan tiga perkara Bakhil, marah dan mabuk.
-          Sesungguhnya seseorang manusia itu jika bakhil, aku sedikitkan hartanya pada pandangan matanya, maka dengan cara ini akan menahannya dari mengeluarkan hak-hak yang wajib dikeluarkannya dan menjadikannya suka kepada harta orang lain.

-          Jika seseorang itu marah, kami akan memutar-mutarkannya di antara sesama kami sebagaimana seorang kanak-kanak memutar-mutarkan bola di antara sesama mereka. Meskipun dia boleh menghidupkan orang mati dengan doanya nescaya kami tidak akan berputus asa daripada menggodanya, sesungguhnya dia dibangunkan dan dihancurkan dengan satu perkataan sahaja.

-          Jika dia mabuk kami akan memimpinnya kepada semua kejahatan seperti mana dipimpin seekor kambing melalui telinganya mnurut sesuka hati kami.
Hasil daripada cerita ini, syaitan telah memberitahu ahli ibadat itu bahawa orang yang marah sesungguhnya dia berada di tangan syaitan seperti bola berada di tangan kanak-kanak. Jadi syaitan dengan sewenang-wenangnya dapat mempermain-mainkan orang yang sedang marah tadi, maka disarankanlah pada orang-orang yang marah supaya agar bersabar supaya dia tidak menjadi tawanan syaitan dan supaya tidak hangus amalannya.

Oleh itu, marilah kita sama-sama berzikir dengan nama Allah iaitu Ya Sobur seberapa banyak yang boleh supaya sentiasa sabar. 

No comments:

Post a Comment